99 Nama Allah

Demi Masa

Thursday, February 18, 2010

sebat~~hukuman untuk mendidik

KETIKA Mahkamah Syariah di Pahang menjatuhkan hukuman enam kali sebatan terhadap seorang model, Kartika Sari Dewi Shukarno, mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 kerana kesalahan mengambil minuman keras, tahun lalu, pelbagai reaksi didengar. Walaupun banyak polemik selepas itu, pendirian institusi itu tidak goyah demi menjulang dan memartabatkan perundangan Islam di negara ini. Pelaksanaan hukuman itu terus menjadi perdebatan, malah sehingga hari ini Kartika masih belum menjalani hukuman. Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya memperjuangkan hak dan kebebasan, memperkecil-kecilkan hukuman berkenaan. Sebatan adalah antara bentuk hukuman termaktub dalam perundangan Islam. Kesan psikologi hukuman itu memberi pengajaran dan keinsafan kepada pesalah dan seluruh masyarakat. Hukuman itu tidak menyeksakan seperti sebatan dalam hukuman perundangan sivil. Mesej dan kesan jangka panjangnya ialah sebagai langkah mengekang jenayah sosial di kalangan umat Islam dan bukan niat untuk mendera sesiapa. Pelaksanaan hukuman sebat di negara ini diperuntukkan dalam semua enakmen undang-undang tatacara jenayah syariah bagi kebanyakan negeri iaitu Johor, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Melaka, Pahang dan Perak selain Wilayah Persekutuan. Dalam Seksyen 125 bagi semua enakmen berkenaan, dijelaskan secara terperinci mengenai hukuman sebat dan ia disokong oleh Seksyen 126 enakmen yang sama berhubung masa melaksanakan hukuman. Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah menjadi kumpulan pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini. Kenyataan itu termasuk memberi gambaran sebenar pelaksanaan hukuman berkenaan.

Sebenarnya, pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah masih pada peringkat permulaan dan masih boleh dikemas kini. Kepada mereka yang mendakwa sebagai pejuang hak asasi sama ada di dalam atau luar negara, janganlah sewenang-wenangnya menyebarkan persepsi buruk terhadap perkembangan ini. Perundangan Islam yang memiliki ciri-ciri serta norma kesejagatan, harus diperakui dan diiktiraf di segi pelaksanaannya. Apabila semua pihak semakin cemas dengan pelbagai gejala sosial yang mengancam setiap anak remaja dan belia, maka masyarakat mesti mengalu-alukan pelaksanaan hukuman sebat mandatori sebagai inisiatif mengekang permasalahan itu. Untuk meningkatkan kesefahaman umum, pendedahan mengenai hukuman sebat mesti dilakukan. Orang ramai dan NGO mesti diberi akses mendapatkan maklumat atau kefahaman mengenai hukuman sebat bagi jenayah syariah yang sebenarnya jauh berbeza untuk pesalah jenayah seperti kes rogol mengikut perundangan sivil. Apabila hukuman itu digambarkan seperti seorang guru atau ayah masing-masing merotan pelajar dan anaknya maka niat hukuman itu adalah untuk mendidik supaya tidak mengulangi kesalahan sama dan langsung tidak bersifat kejam.

keseronokan dunia ibarat permainan melalaikan

Manusia diingatkan sentiasa patuhi segala suruhan-Nya untuk bekalan akhirat

DUNIA diibaratkan seperti ladang untuk bercucuk tanam dan hasilnya akan diperoleh di akhirat kelak. Hasil itu bergantung kepada apa yang diusahakan. Jika amalan diusahakan itu baik maka baiklah hasilnya dan begitu juga sebaliknya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah (debu yang halus) nescaya dilihatNya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dilihatNya." (Surah Al-Zilzal, ayat 7-8)

Sesungguhnya setiap langkah, gerak geri dan tingkah laku kita di dunia dalam pengetahuan Allah. Segala amalan manusia semuanya akan direkodkan dalam diari dan diari itu akan dibentangkan di akhirat nanti.


Allah menugaskan dua malaikat, Raqib dan Atid untuk mencatatkan segala rekod kebaikan serta kejahatan dilakukan setiap individu.

Ahli tasauf menganggap dunia seperti bangkai dan manusia seperti anjing. Sebab itulah manusia lebih sukakan dunia daripada akhirat. Al-Quran juga ada menerangkan yang dunia ini adalah permainan dan kelalaian.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir." (Surah Al-An'am, ayat 32)

Dunia ini diibaratkan sebagai permainan dan melalaikan. Permainan itu akan tamat apabila tiba masanya. Kesenangan dan kemewahan dalam erti kata sebenarnya ialah kesenangan dan kemewahan di akhirat yang kekal selama-lamanya.

Hal ini jelas daripada firman Allah yang bermaksud: "Dan sebutlah (ingatlah) nama Tuhanmu serta sembahyang. Tetapi kamu lebihkan penghidupan dunia, pada hal akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Surah Al-A'la, ayat 15, 16 dan 17)

Allah mengingatkan supaya manusia sentiasa ingat kepada-Nya dengan menunaikan sembahyang, mematuhi suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Namun, manusia lebih cenderung kepada penghidupan dunia.

Mungkin ini disebabkan dorongan syaitan dan hawa nafsu kerana syaitan itu sentiasa berusaha menyesatkan manusia di muka bumi ini, pada hal mereka sudah berkali-kali diberi peringatan bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal.

Islam bukan melarang manusia mencari kemewahan dan kesenangan di dunia tetapi kemewahan itu biarlah sekadar memadai untuk menunaikan tanggungjawab serta kewajipan yang membawa kepada kebahagiaan hidup di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan carilah dalam kurniaan yang Allah berikan kepadamu itu (keselamatan) negeri akhirat. Tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu dari di dunia." (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Manusia disuruh mencari atau beramal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat. Di samping itu, Allah juga menegaskan bahawa dunia tidak boleh dilupakan langsung. Cuma antara dunia dan akhirat, Allah menguatkan supaya akhirat lebih diutamakan dari dunia.

Bagaimana halnya mereka yang lebih mementingkan dunia dari akhirat? Allah berfirman yang maksudnya: "Mereka itu orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan ke atas mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan." (Surah Al-Baqarah, ayat 86)

Inilah balasan orang yang sanggup meninggalkan akhirat dan mengutamakan dunia. Mereka itu akan mendapat seksaan di akhirat kelak.

Sesungguhnya, untuk memperoleh kejayaan dan kesenangan sama ada di dunia atau akhirat, kita disuruh melakukan segala kebaikan dan mencegah segala larangan. Kita juga digalakkan membuat amal ibadat lebih banyak daripada urusan keduniaan.

Keadaan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari." (Hadis riwayat Al-Asyakin)

Monday, February 15, 2010

alhamdulillah..

Assalamualaikum wbt.. syukur ke hadrat Illahi kerana dengan rahmatNya dapat juga kami menyiapkan blog ini. Blog ini merupakan sebahagian daripada tugasan untuk program mentor mentee bagi pelajar Jabatan Syariah UKM Bangi umumnya dan pelajar di bawah bimbingan Ustaz Anwar Fakhri, pensyarah jabatan Syariah khususnya..Ucapan jutaan terima kasih kami tujukan buat mentor kesayangan kami, Ustaz Anwar Fakhri kerana memberi ruang untuk kami meneroka dunia baru yang serba canggih ini. Tanpa tugasan ini, mungkin kami belum lagi mengenal apa itu blog, kegunaannya dan fungsinya dalam konteks mahasiswa universiti yang dianggap antara medium yang paling sesuai untuk berkongsi ilmu pada zaman sekarang. Terima kasih juga kami ucapkan kepada keluarga tercinta dan rakan-rakan seperjuangan yang dikasihi sekalian sama ada terlibat secara langsung atau tidak dalam usaha membantu kami menyiapkan blog ini. Diharapkan agar kawan-kawan yang mempunyai apa-apa pendapat atau berita terkini atau ingin berkongsi pengalaman, boleh melawati blog ini.. Syukran jazilan kathira..